SELAMAT DATANG KE BLOG MPPK TERENGGANU - "GURU PENYAYANG MURID BERKUALITI"

23 Mac 2013

SPM: Terengganu catat peningkatan


KUALA TERENGGANU 21 Mac - Terengganu mencatatkan peningkatan kualiti memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 dengan sebanyak 513 calonnya mendapat semua A berbanding 408 calon tahun sebelumnya.
Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin berkata, pertambahan ketara itu lebih membanggakan selepas jumlah calon yang memperoleh gred cemerlang tertinggi, A+ dalam semua mata pelajaran meningkatkan daripada 15 orang kepada 19 orang.
Ketika mengumumkan keputusan itu di pejabatnya di sini hari ini, beliau memberitahu, secara keseluruhannya Gred Purata Negeri calon sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran hampir setara dengan 2011 iaitu pada tahap 5.01 peratus.
Katanya, sebanyak 22,274 calon termasuk 21,214 calon sekolah kementerian mendaftar menduduki SPM pada 2012 di 183 pusat peperiksaan.
Beliau menarik perhatian, daripada jumlah calon yang memperoleh A+, Ong Jia Pei dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin di sini, muncul calon tunggal memperoleh 12 A+ manakala selebihnya mendapat 11A+, 10A+ serta 9A+.
Turut berada dalam senarai itu dengan 11 A+ katanya, ialah Anis Raihan Asmadi dan Syafiqah Yusof, (SMKA Sheikh Abdul Malek); Muhamad Zulfadhli Nor Azmi (SM Imtiaz Kuala Terengganu) dan Iz'aan 'Arif Fahmi Abd. Rahman (SM Imtiaz Dungun).
Calon lain tambah beliau, ialah Muhammad Hamdan Syafieq Ahmad (SMA Atas Sultan Zainal Abidin); Muhamad Syukri Ahmad (SMK Tengku Lela Segara Marang) dan Tan Mung Kit (SMK Sultan Ismail Kemaman) masing-masing memperoleh 10 A+.
Kata Hashim, sebanyak 11 lagi calon memperoleh 9A+ termasuk Lau Jia Shang, Irra Hazirah Rossid, Joycelyn Hai Siew Ching, Noor Najwa Shaira Zahari, Noor Nuraina Hamat, Nurhidayah Rosman (SMK Sultan Sulaiman); Mohamad Faiz Fitri Idris, Nur Raiyan Amalina Marzuki, Mohd Syahmi Zaid (SM Sains Sultan Mahmud); Wan Hashedah Wan Haron (SMK Cukai) dan Muhammad Nur Hanif Abdullah (SMK Tengku Mahmud).



"Bukanlah suatu yang mudah untuk melahirkan calon Gred Cemerlang Tertinggi ini kerana menuntut tahap disiplin yang kuat, semangat yang kental dan sokongan moral semua pihak. Namun sejak 2010, Terengganu mampu melahirkan lebih 10 orang pelajar cemerlang setiap tahun," katanya.
Hashim juga mengumumkan enam buah sekolah berada dalam senarai Sekolah Berpencapaian Cemerlang dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.25 dan ke bawah dengan didahului SM Sains Sultan Mahmud (1.49), SM Imtiaz Besut (1.67) SM Sains Kuala Terengganu (1.79), SMA Atas Sultan Zainal Abidin (2.06), SM Sains Hulu Terengganu (2.07) dan SM Imtiaz Kuala Terengganu (2.23)
"Bilangan sekolah yang mencapai GPS kategori Cemerlang ini merosot berbanding lapan pada tahun sebelumnya. Namun, bilangan sekolah yang mencapai kategori Baik (2.26-4.50) bertambah kepada 24 buah berbanding 22 pada tahun sebelumnya," katanya.
Tambah beliau, sebahagian besar sekolah di negeri ini berada dalam kategori Cemerlang, Baik dan Memuaskan manakala hanya dua sekolah memperoleh pencapaian Berpotensi yang memperlihatkan kesan positif daripada program Bai'ah atau Tawaran Baharu antara pihak sekolah dengan kementerian dalam usaha meningkatkan prestasi.
Hashim berkata, secara keseluruhan calon lokasi bandar dan calon dari luar bandar menunjukkan sedikit penurunan dari segi Gred Purata iaitu masing-masing sebanyak 4.83 dan 5.21 berbanding 4.69 dan 5.16 pada tahun sebelumnya.
"Namun, jika kita membandingkan jurang antara calon bandar dan luar bandar, jelas menampakkan semakin baik (mengecil). Sehubungan itu, perkembangan tersebut boleh dianggap pencapaian yang memberangsangkan untuk Terengganu," katanya.
Beliau berkata, bilangan calon yang berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred kepujian atau C bagi semua mata pelajaran yang diduduki menurun sebanyak 203 calon iaitu hanya 3,386 calon di samping calon yang layak mendapat sijil menurun kepada sebanyak 19,635.


Sumber -  Utusan Melayu (M) Bhd