SELAMAT DATANG KE BLOG MPPK TERENGGANU - "GURU PENYAYANG MURID BERKUALITI"

19 Mac 2013

STPM: Terengganu terus cemerlang


KUALA TERENGGANU 18 Mac - Terengganu terus melakar kejayaan membanggakan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini apabila daripada keseluruhan 2,980 calon, seramai 2,861 orang Lulus Penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil.
Ia sekali gus menunjukkan peratusan lulus di negeri ini (96.01 peratus) mengatasi 1.57 peratusan kebangsaan iaitu 94.44 peratus serta peratusan tahun sebelumnya iaitu 95.34 peratus.
Terengganu turut mencipta rekod tersendiri apabila dua daripada 15 orang calonnya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 membanggakan negeri dengan muncul antara yang terbaik di peringkat negara.
Dua pelajar dari daerah Besut itu ialah Normadia Manaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra dan Nor Izyani Suhaimi dari SMK Renek yang mana masing-masing memperoleh 5A dan 4A 1A-.
Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin berkata, daripada 2,861 orang calon mendapat Lulus Penuh, seramai 261 orang (8.76%) lulus penuh lima mata pelajaran, 1,235 orang (41.44%) lulus penuh empat mata pelajaran dan diikuti 698 orang (23.42%) lulus penuh tiga mata pelajaran.
"Selain itu, seramai 404 orang (13.35%) lulus penuh dua mata pelajaran dan 263 orang (8.83%) lulus penuh satu pelajaran manakala seramai 1,301 orang calon atau 43.66 peratus mendapat PNGK melebihi 2.66 bagi calon yang mengambil empat atau lima mata pelajaran," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman keputusan STPM di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Bukit Kecil dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, sebanyak 13 buah sekolah memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) melebihi 2.60 berbanding GPS negeri iaitu 2.40 antaranya Sekolah Menengah Atas (Agama) Sultan Zainal Abidin, (3.05), SMK Renek (2.86), SMK (Agama) Durian Guling (2.85), SMK Tengku Ibrahim (2.85) dan SMK Tengku Mahmud (2.77).
Antara sekolah lain, SMK Sultan Ismail (2.75), SMk Badrul Alam Shah (2.75), SMK tengku Ampuan Intan (2.73), SMK Cukai (2.69), SMKA Sheikh Abdul Malik (2.68), SMK Bukit Besar (2.66), SMK Chung Hwa Wei Sin (2.66) dan SMA Maarif (2.62).
Beliau berkata, sebanyak 17 sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus antaranya SMK Matang, SMK Menerong, SMK Saujana, SMK Ibrahim Fikri, SMK Manir, SMK Bukit Nenas, SMK Seri Nering, SMK Pengkalan Berangan, SMk Tun Telanai dan SMK Seri Nilam.
Ujarnya, kejayaan yang dilakar adalah usaha semua pihak termasuk guru, pelajar serta sokongan padu ibu bapa calon.
"Pada tahun ini kita menyaksikan peningkatan dalam peperiksaan ini berbanding tahun sebelumnya dan tiada lagi jurang antara sekolah luar bandar mahupun bandar apabila keputusan cemerlang dilihat seimbang.
"Tahniah buat dua pelajar dari Besut yang turut dipilih sebagai pelajar terbaik negara pada tahun ini dan ini satu kebanggaan buat negeri Terengganu," jelasnya.


Sumber - Utusan Melayu (M) Bhd